Friday, December 4, 2009

Dialog Mari Fahami Iman, Islam dan Ihsan

Bahagian 1

Dialog ini berlaku diantara Yang Berhormat Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Sembilan dan dua orang remaja iaitu Safwan dan Nabilah. Safwan dan Nabilah merupakan dua orang remaja yang tidak mendapat pendidikan agama secara formal. Walaupun pernah belajar di sekolah, namun ianya tidak difahami dan dihayati dengan baik oleh kedua-duanya. Terdapat banyak persoalan yang timbul dalam benak mereka. Mereka menemui mufti untuk mendapat penjelasan yang mudah untuk mereka fahami.

Sebagai Mufti, YB Sahibus Samahah dengan senang hati menerima kunjungan dua orang remaja ini.

"Assalami'alaikum Dato'".
"Wa'alaikumus Salam"
Sambil bersalaman dengan Safwan, Dato' Mufti mempersilakan Safwan dan Nabilah duduk di sofa. Nabilah agak malu-malu sambil membetulkan pakaiannya. Maklumlah, pakaian anak gadis zaman kini.... walau bagaimanapun dia masih bertudung.

Setelah berkenal-kenalan, Safwan memberanikan diri untuk bertanya.
"Apa itu Islam?"
"Islam bukan agama sebagaimana yang difahami oleh penganut agama lain. Ia adalah satu Ad-Din dan satu sistem hidup yang jelas menggariskan cara menjalankan hidup yang sempurna sama ada sebagai hamba Allah, ahli masyarakat dan seorang yang diberi kekuatan untuk memakmurkan alam"

Dato' ! apa erti Islam? Soal Safwan ringkas.
"Islam bererti tunduk, patuh dan menyerah diri kepada Allah. Ia dibuktikan dengan melaksanakan semua bentuk ibadah khusus seperti solat dan puasa, juga ibadah umum seperti belajar dan taat kepada dua ibu bapa, juga bekerja mencari rezeki." Jawab Dato' Mufti dengan bahasa yang mudah.

"Jadi, orang Islam bermakna orang baiklah ye". Nabilah cuba menyampuk.
" Ya, Orang Islam sepatutnya orang yang baik perilakunya, taat kepada Tuhannya, dan takut melakukan kesalahan dan kemaksiatan". mufti menjawab dengan berhati-hati.
" Kalau berasal daripada keluarga yang islam tapi berperangai tidak senonoh, apakah dia itu dikira Islam? Tanya Nabilah seakan-akan ada gambaran lain bermain-main dalam kepalanya.
"Dia tetap dianggap Islam selagi tidak syirik. Namun dia berdosa dan akan mendapat siksaan yang amat perit sama ada di dunia atau di akhirat nanti" Mufti cuba mengusik perasaan Nabilah. Mudah-mudahan imannya dapat disuburkan.

"Apa jalan keluarnya?. Tanya Safwan yang mula tenggelam.
"Islam agama fitrah. Islam telah mengatur sistem hidup yang bersesuaian dengan kemampuan semua manusia. Islam mengiktiraf bahawa manusia sering lalai dan kerap melakukan kesilapan. Jika seseorang tersilap, ia mesti kembali ke pangkal jalan". Jawab Mufti yang mula mengundang tanda tanya.
"Apa makna pangkal jalan tu? tak fahamlah!" Safwan bertanya.
"Maknanya bertaubatkah kepada Allah jika kesalahan itu tidak bersangkutan dengan manusia lain. Jika bersangkutan dengan orang lain kena minta keredhoan daripada mereka terlebih dahulu" Nabilah menyampuk. Barangkali teringat kata-kata ustazahnya dulu.

"Iman tu macam mana pulak? Soal Safwan kebuda-budakan.
"Iman itu maknanya membenarkan ajaran Islam dalam hati, berikrar dengan lidah serta mengamalkan segala yang dibawa olehNabi Muhammad S.A.W." Tegas Mufti sambil menjamah kuih yangdisediakan oleh pembantu khasnya. safwan dan nabilah pula menghirup air teh O.

Perbualan mereka terhenti seketika. Asyik nampaknya. Maklum, sudah pukul 10, masa untuk minum. Perut pun memang dah lapar. Safwan dan Nabilah Merasa bertuah kerana dapat minum bersam Mufti. Mereka terus minum sambil makan kek yang disediakan.