Friday, August 14, 2009

Doa Memohon Diselamatkan Daripada Wabak & Bencana

بسم الله الرحمن الرحيم. بسم الله شافي. بسم الله كافي. بسم الله المُعافي.
بسم الله الذي لا يضر مع اسمه شيء في الأرض ولا في السماء وهو السميع العليم

Maknanya " Dengan menyebut nama Allah yang Maha Pengasih lagi maha Penyayang. Dengan menyebut nama Allah yang Maha Penyembuh. Dengan menyebut nama Allah ia memadai. Dengan menyebut nama Allah yang Melindungi keselamatan. Dengan menyebut nama Allah yang tidak akan memudaratkan apa-apa pun yang disebut nama-Nya sesuatu yang ada di langit dan dibumi. Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Doa ini disebut "Bismillah Lima". Ia sesuai dibaca ketika menghadapi apa jua musibah, penyakit berjangkit, penyakit zahir dan batin serta lainnya. Dibaca sebanyak lima kali setiap kali membacanya. Diamalkan setiap hari, bila-bila waktu dan sebaik-baiknya selepas solat waktu.

Unjuran Pertubuhan Kesihatan Sedunia ( WHO ) mengatakan wabak ini akan berlanjutan selama setahun ke dua tahun sebelum reda. Kematian dijangka akan meningkat hingga 1% bagi pesakit yang terkena selsema babi ini. Dianggarkan sehingga 20% rakyat Malaysia akan dijangkiti. Dengan kadar kematian berjumlah 1%, ini bermakna kemungkinan kematian ialah antara 5500 hingga 28000 orang. Nauzubillahi Min Dzalik. Sama-sama kita berdoa agar ia dijauhkan daripada insan yang kita sayangi.

Tuesday, August 11, 2009

IBUKU SEORANG PEMBOHONG


Memang sukar untuk orang lain percaya, tapi itulah yang berlaku. Ibu saya memang seorang pembohong!! Sepanjang ingatan saya sekurang-kurangnya 8 kali ibu membohongi saya. Saya perlu catatkan segala pembohongan itu untuk dijadikan renungan anda sekalian.
Cerita ini bermula ketika saya masih kecil. Saya lahir sebagai seorang anak lelaki dalam sebuah keluarga miskin. Makan minum serba kekurangan. Kami sering kelaparan. Adakalanya, selama beberapa hari kami terpaksa makan berlaukkan ikan masin dikongsi satu keluarga.
Sebagai anak yang masih kecil, saya sering saja merungut. Saya menangis mahukan nasi dan lauk yang banyak. Tapi ibu cepat memujuk. Ketika makan, ibu sering membahagikan bahagian nasinya untuk saya. Sambil memindahkan nasi ke mangkuk saya, ibu berkata : ""Makanlah nak ibu tak lapar." – PEMBOHONGAN IBU YANG PERTAMA.
Ketika saya mulai besar ibu yang gigih sering meluangkan watu senggangnya untuk pergi memancing di tali air berhampiran rumah. Ibu berharap dari ikan hasil pancingan itu dapat memberikan sedikit makanan untuk membesarkan kami adik-beradik. Pulang dari memancing, ibu memasak gulai ikan yang segar dan mengundang selera.

Sewaktu saya memakan gulai ikan itu ibu duduk disamping kami dan memakan sisa daging ikan yang masih menempel di tulang daripada bekas sisa ikan yang saya makan tadi. Saya sedih melihat ibu seperti itu.. Hati saya tersentuh lalu dengan menggunakan sudu saya memberikan ikan itu kepada ibu. Tetapi ibu dengan cepat menolaknya. Ibu berkata : "Makanlah nak, ibu tak suka makan ikan." – PEMBOHONGAN IBU YANG KEDUA.

Di usia awal remaja, saya masuk sekolah menengah. Ibu pergi ke kedai dengan membawa sejumlah penyapu lidi dan kuih-muih untuk menyara persekolahan saya,abang dan kakak. Suatu dinihari lebih kurang pukul 1.30 pagi saya terjaga dari tidur.

Saya melihat ibu membuat kuih dengan beremankan sebuah pelita di hadapannya. Beberapa kali saya melihat kepala ibu terhangguk kerana mengantuk. Saya berkata : "Ibu, tidurlah, esok pagi ibu kena pergi kebun pula." Ibu tersenyum dan berkata : "Cepatlah tidur nak, ibu belum mengantuk lagi." – PEMBOHONGAN IBU YANG KETIGA.
Di hujung musim persekolahan, ibu meminta cuti kerja supaya dapat menemani saya pergi ke sekolah untuk menduduki peperiksaan penting. Ketika hari sudah siang, terik panas matahari mulai menyinari, ibu terus sabar menunggu saya di luar dewan. Ibu seringkali saja tersenyum dan mulutnya terkumat-kamit berdoa kepada Illahi agar saya lulus ujian peperiksaan ini dengan cemerlang.

Ketika loceng berbunyi menandakan ujian sudah selesai, ibu dengan segera menyambut saya dan menuangkan kopi yang sudah disiapkan dalam botol yang dibawanya. Kopi yang kental itu tidak dapat dibandingkan dengan kasih sayang ibu yang jauh lebih kental. Melihat tubuh ibu yang dibasahi peluh, saya segera memberikan cawan saya itu kepada ibu dan menyuruhnya minum. Tapi ibu cepat-cepat menolaknya dan berkata : "Minumlah nak, ibu tak haus!!" – PEMBOHONGAN IBU YANG KEEMPAT.

Setelah pemergian ayah kerana sakit, iaitu selepas saya baru beberapa bulan dilahirkan, ibulah yang mengambil tugas sebagai ayah kepada kami sekeluarga. Ibu bekerja mengambil upah di kebun, membuat penyapu lidi dan menjual kuih-muih agar kami tidak kelaparan.

Tapi apalah sangat kudrat seorang ibu. Kehidupan keluarga kami semakin susah dan susah. Melihat keadaan keluarga yang semakin parah, seorang pakcik yang baik hati dan tinggal berjiran dengan kami, datang untuk membantu ibu. Anehnya, ibu menolak bantuan itu. Jiran-jiran sering kali menasihati ibu supaya menikah lagi agar ada seorang lelaki yang akan menjaga dan mencarikan wang untuk kami sekeluarga. Tetapi ibu yang keras hatinya tidak mengendahkan nasihat mereka. Ibu berkata : "Saya tidak perlukan cinta dan saya tidak perlukan lelaki." – PEMBOHONGAN IBU YANG KELIMA.

Setelah kakak dan abang habis belajar dan mula bekerja, ibu sudah pun tua. Kakak dan abang menyuruh ibu supaya berehat sahaja di rumah. Tidak payahlah lagi bersusah payah dan bersengkang mata untuk mencari duit. Tetapi ibu tidak mahu. Ibu rela pergi ke pasar setiap pagi menjual sedikit sayur untuk memenuhi keperluan hidupnya.

Kakak dan abang yang bekerja jauh di kota besar sering mengirimkan wang untuk membantu memenuhi keperluan ibu, pun begitu ibu tetap berkeras tidak mahu menerima wang tersebut. Malahan ibu mengirim balik wang itu dan ibu berkata : "Jangan susah-susah, ibu ada duit." – PEMBOHONGAN IBU YANG KEENAM.

Setelah tamat pengajian di universiti, saya melanjutkan lagi pelajaran ke peringkat sarjana di luar Negara. Pengajian saya di sana dibiayai sepenuhnya oleh sebuah syarikat besar. Sarjana itu saya sudahi dengan cemerlang,kemudian saya pun bekerja dengan syarikat yang telah membiayai pengajian saya juga di luar negara.

Dengan gaji yang agak lumayan, saya berhajat membawa ibu untuk menikmati penghujung hidupnya di luar negara. Pada pandangan saya, ibu sudah puas bersusah payah untuk kami. Hampir seluruh hidupnya habis dengan penderitaan, eloklah kalau hari-hari tuanya ini ibu habiskan dengan keceriaan dan keindahan pula. Tetapi ibu yang baik hati, menolak ajakan saya. Ibu tidak mahu menyusahkan anaknya ini dengan berkata ; "Tak payahlah, ibu tak biasa tinggal di Negara orang." – PEMBOHONGAN IBU YANG KETUJUH.
Beberapa tahun berlalu, ibu semakin tua.. Suatu malam saya menerima berita ibu diserang penyakit kanser. Ibu mesti dibedah secepat mungkin. Saya yang ketika itu berada jauh diseberang samudera terus segera pulang untuk menjenguk ibunda tercinta.

Saya melihat ibu terbaring lemah di katil hospital setelah menjalani pembedahan. Ibu yang kelihatan sangat tua, menatap wajah saya dengan penuh kerinduan.
Ibu menghadiahkan saya sebuah senyuman biarpun agak kaku kerana terpaksa menahan sakit yang menjalari setiap inci tubuhnya.. Saya dapat melihat dengan jelas betapa seksanya penyakit itu telah memamah tubuh ibu sehingga ibu menjadi terlalu lemah dan kurus. Saya menatap wajah ibu sambil berlinangan air mata. Saya cium tangan ibu kemudian saya kecup pula pipi dan dahinya. Di saat itu hati saya terlalu pedih, sakit sekali melihat ibu dalam keadaan seperti ini. Tetapi ibu tetap tersenyum dan berkata : "Jangan menangis nak, ibu tak sakit." – PEMBOHONGAN IBU YANG KELAPAN.

Setelah mengucapkan pembohongan yang kelapan itu, ibunda tercinta menutup matanya untuk kali terakhir kali.

Anda bertuah kerana masih mempunyai ibu dan ayah. Anda boleh memeluk dan menciumnya. Kalau ibu anda jauh dari mata, anda boleh menelefonnya sekarang, dan berkata, 'Ibu,saya sayangkan ibu.' Tapi tidak saya. Sehingga kini saya diburu rasa bersalah yang amat sangat kerana biarpun saya mengasihi ibu lebih dari segala-galanya, tapi tidak pernah sekalipun saya membisikkan kata-kata itu ke telinga ibu, sampailah saat ibu menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Ibu, maafkan saya. Saya sayangkan ibu…

"Ya Allah, Ampunilah dosa kedua ibu bapaku, kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihani ku sejak kecil"

Saturday, August 8, 2009

Bebaskan Umat Islam dari Najis ARAK


PAS Selangor melancarkan kempen penerangan besar-besaran di seluruh negeri supaya umat Islam menjauhi arak susulan kontroversi pengharaman minuman itu dengan seorang pemimpin DAP Ronnie Liu.

Kira-kira 80,000 risalah diedarkan di seluruh negeri bermula selepas solat Jumaat tadi, kata setiausaha perhubungan PAS negeri, Khairuddin Othman.

"Program ini dibuat supaya umat Islam tidak dekati alkohol yang banyak membawa masalah sosial," katanya.

"Kita ada 22 kawasan (parlimen) di Selangor. Kali dengan 4,000 satu kawasan, lebih kurang 80,000 risalah dicetak untuk diedarkan."

Tambahnya, dalam kempen yang sama, PAS turut menggantung kain rentang bertulisan "Bebaskan Umat Islam daripada Najis Arak" di tempat-tempat tumpuan orang ramai dan simpang jalan utama.

Bagaimanapun, katanya lagi, jumlah kain rentang tidak dapat dianggarkan kerana ia bergantung keputusan PAS kawasan.

Kempen tersebut sebahagian tuntutan PAS mendesak garis panduan jelas berhubung penjualan arak mudah dipantau pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Semua ahli majlis mesyuarat (exco kerajaan) bersetuju kuatkuasakan larangan penjualan arak di kawasan majoriti Melayu. Tetapi persoalannya sekarang, bagaimana hendak menguatkuasakannya?" katanya.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini dilaporkan berkata garis panduan itu akan disiapkan kira-kira sebulan lagi.

Wednesday, August 5, 2009

Program terkini

1. Program meraikan dan memberi sumbangan kepada Anak-Anak Yatim.

Tarikh : 15 hb Ogos 2009

Masa : 10 pg

Tempat : Institut Taufiq Islami, Lot 3579 Lrg Hj Taib,Batu 7 Jln Kebun

Anjuran Nisa' dan DMPK Kota Raja


2. Usrah Gabungan Dewan Muslimat PAS Kawasan

Tarikh :16 hb Ogos 2009

Masa : 9:30 pg

Tempat :Pusat Komuniti Rakyat, Lorong Setia 1H, Taman Setia Klang.

Semua ahli usrah muslimat peringkat cawangan dan kawasan dijemput hadir

posted by : sham aziz

Sunday, August 2, 2009

Aiman Athirah Al-Junaidi kena tahan


Keberanian Ahli Jawatan Kuasa Muslimat PAS, Athirah Aiman al-Jundi, yang ditahan kira-kira jam 12.50 tengah hari di Kompleks Pertama, adalah antara pimpinan AJK Muslimat PAS Pusat yang paling berani pernah saya temui. Kita boleh menemui beliau dihampir semua perhimpunan samaada di ibu kota atau dilain-lain lokasi.

Tengahari semalam beliau sekali lagi menjadi mangsa dengan ditahan Polis dan semasa dalam tahanan tersebut beliau dan rakan-rakan tahanan lain pihak polis tidak dibenarkan menemui peguam mereka.

Tambah beliau, pihak polis tidak membenarkan mereka menemui peguam dengan alasan 'mereka belum ditahan', selain mengatakan para peguam tidak mengendahkan hak dan nasib mereka.

"Alasan pihak polis tidak membenarkan kami menemui peguam ialah kerana kami belum ditahan. Jadi, yang letakkan kami di pusat tahanan ini apa namanya? Jika kami tidak ditahan, mengapa tidak dilepaskan sahaja?"

ImageTambah beliau lagi, alasan polis bahawa para peguam tidak mengendahkan mereka yang ditahan turut tidak masuk akal, memandangkan terdapat tiga peguam di luar pusat tahanan tersebut, antaranya Lateefa Koya yang ingin menemui mereka yang ditahan.

Sambil menyatakan kesemua yang ditahan dipisahkan antara satu sama lain bagi mengelakkan sebarang perbincangan, Athirah turut memaklumkan tiada sebarang keterangan diambil polis ke atas mereka yang ditahan.

"Kita tidak tahu apa yang mereka mahu. Keterangan tidak diambil, malah terdapat dua tahanan wanita dihantar ke Balai Polis Bukit Jalil. Atas sebab apa kita tidak tahu. Malah, ada di kalangan yang ditahan telah diambil kad pengenalan mereka tanpa dipulangkan kembali," tambah beliau yang turut menyampaikan informasi melalui sistem pesanan ringkas (SMS) kepada Harakahdaily.

ImageDalam pada itu, beliau turut memaklumkan mereka yang ditahan bertindak melakukan pelbagai aktiviti bagi memprotes tindakan polis, antaranya melaungkan slogan 'Hidup Rakyat', 'Mansuh ISA', 'Hentikan kezaliman', 'hancur penindasan', 'lawan tetap lawan', selain mendeklamasikan sajak.

Antara yang turut ditahan bersama Athirah ialah AJK PAS Pusat, Mujahid Yusof Rawa; Exco Pemuda Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil; Naib Presiden KeADILan, Sivarasa Rasiah; serta beberapa aktivis lain, termasuk isteri tahanan ISA lapan tahun, Norlaila Othman.

Saturday, August 1, 2009

Tahajjud Cinta

Selesai doa dipohon. Tapak tangan dibuka memohon rahmat dan kasih sayang Allah. Lama sudah sudah tidak bangkit di sepertiga malam. Terasa seperti janggal sekali. Seolah-olah tidak pernah melakukannya. Namun Bulan Allah-Bulan Syaaban memberi satu kefahaman dan semangat baru untuk tidak melengahkan masa dengan amal soleh disoroti dengan keikhlasan demi meraih keampunan dan rahmat Allah di setiap nafas yang dihirup sebelum terhenti. Kini, Aku baru sahaja tamat menelaah novel "Tahajjud Cinta" karangan Muhammad El-Natsir setelah sekian lama tidak menyentuh novel. Tersentuh kerana dorongan rakan ketika menziarai MPH di Jusco baru-baru ini.

"Apalah harith baca buku cintan ni!" teriak seseorang kepadaku.

Namun ku yakin, setiap manusia ada persepsi dan idea yang berbeza-beza tentang sesuatu perkara.

Sidang pembaca yang kusayangi sekalian,
Ingin kukongsikan sedikit ilmu hasil pembacaanku insan kerdil kepada kalian. Masakan aku digolongkan dalam golongan yang kedekut dan mendapat kemurkaan Allah sekiranya ilmu yang kupelajari tidak disampaikan.


Sabda Rasulullah saw bermaksud: "Orang yang berat menanggung seksa pada hari kiamat ialah orang yang berilmu, namun tidak mendapat manfaat daripada ilmunya itu".

Tahajjud Cinta (TC) ini memberi satu inspirasi dan semangat baru dalam hidup bersyariat ini. Aku terpaku dan terpikat dengan impak amalan tahajjud dalam diri pelakon utama bernama Muhammad Fatih yang hidupnya tidak suka menunjuk-nunjuk dan penyerahan diri secara total kepada Allah. Ibunya sudah meninggal dan dia merupakan putera sulung yang merelakan diri untuk mengorbankan pelajarannya buat sementara waktu(pelajar pintar) semata-mata untuk menyara keluarganya.

Apa yang menarik di sini adalah, beliau tidak meninggalkan munajatnya di sepertiga malam dan hasilnya terlalu banyak perkara yang berlaku tidak kira pahit dan manis, beliau berjaya melepasinya dengan tabah sekali. Dalam satu peristiwa beliau yang diletakkan di dalam guni kerana dicemburui Reno(seorang yang berperwatakan kejam) oleh 2 orang pengikutnya, lalu dicampakkan di suatu semak yang cukup gelap pada waktu malam yang sunyi. Ketika itu, beliau baru sahaja difitnah mencuri beg seorang wanita bernama Lyceen Cee dan kerana tohmahan orang dia dipukul dan dibelasah oleh sekalian penduduk jakarta yang ada di kawasan itu.

Keadaan itu cukup menyayatkan hati. Namun beliau tetap tabah dalam menghadapi dan ditakdirkan beliau masih hidup dan mencari tempat berlindung. Tinggal di sebuah rumah usang yang dihuni oleh seorang nenek yang solehah dan seorang anak kecil. Beliau dijaga buat sementara waktu oleh nenek tersebut. Walaupun dengan kudrat yang sedikit, beliau tetap bangun untuk memohon pertolongan Allah melalui tahajjudnya. Indahnya Allah meletakkan jutaan rahsia dalan tahajjud.



Di akhir coretan novel ini, beliau mendapat banyak bantuan yang datang tanpa henti-henti. Antaranya berkahwin dengan seorang insan yang istimewa dalam hidupnya, mendapat bantuan biasiswa, mendapat tawaran mengajar dan bekerja di sebuah restoran. Berkat pertolongan Allah melalui tahajjud dan ketabahannya menghadapi dugaan beliau dihadiahkan bantuan yang setimpal dengannya walaupun pada awalnya, beliau hanya seorang pemandu beroda tiga yang hidup ibarat seorang mukallaf yang terpinggir tetapi dipenuhi dengan hikmah kebijaksanaan yang hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Sidang pembaca yang dirahmati Allah sekalian,
Walaupun novel ini ada kaitannya dengan cinta, namun aku lebih terpanggil untuk melihat hikmah tahajjud berbanding soal cinta. Hal ini kerana Cinta Allah yang agung dapat disemi dengan lebih mekar dan cepat melalui tahajjud. Mungkin pada pandanganku novel ini ada sedikit tergantung dari sudut plot dan jalan ceritanya, namun kita sebagai umat islam harus melihat kepada ibrah dan sampaikan pada yang lain andai ada baiknya sekalipun secubit pasir di pantai.

Jesteru, marilah semua umat manusia yang mengucapkan dua kalimah shahadah, kita memulakan tabung bekalan akhirat kita dengan kenikmatan di malam hari. Sesungguhnya disepertiga malam, kita rasa cukup tenang untuk berbicara dengan Allah dan hati mudah tersentuh kerana kesyahduan waktunya. Aku yang dhaif lagi hina ini mengajak diriku terutamanyas serta kalian untuk sama-sama mencari dan meraih keampunan dan rahmatnya di malam hari. Mudah-mudahan siangnya dipenuhi barakah dan matinya kita dalam keredaanNya.



Daripada Abu Hurairah : Aku bertanya : Wahai Rasulullah! Beritahulah kepadaku tentang suatu amalan yang membolehkan aku masuk Syurga lalu nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Sebarkanlah salam, jamukanlah makan, dirikanlah solat sedangkan manusia lain sedang tidur nescaya engkau akan masuk Syurga dengan selamat – Dikeluarkan oleh Imam Ahmad, Hakim dan Ibnu Habban dengan sanad sohih