Saturday, August 1, 2009

Tahajjud Cinta

Selesai doa dipohon. Tapak tangan dibuka memohon rahmat dan kasih sayang Allah. Lama sudah sudah tidak bangkit di sepertiga malam. Terasa seperti janggal sekali. Seolah-olah tidak pernah melakukannya. Namun Bulan Allah-Bulan Syaaban memberi satu kefahaman dan semangat baru untuk tidak melengahkan masa dengan amal soleh disoroti dengan keikhlasan demi meraih keampunan dan rahmat Allah di setiap nafas yang dihirup sebelum terhenti. Kini, Aku baru sahaja tamat menelaah novel "Tahajjud Cinta" karangan Muhammad El-Natsir setelah sekian lama tidak menyentuh novel. Tersentuh kerana dorongan rakan ketika menziarai MPH di Jusco baru-baru ini.

"Apalah harith baca buku cintan ni!" teriak seseorang kepadaku.

Namun ku yakin, setiap manusia ada persepsi dan idea yang berbeza-beza tentang sesuatu perkara.

Sidang pembaca yang kusayangi sekalian,
Ingin kukongsikan sedikit ilmu hasil pembacaanku insan kerdil kepada kalian. Masakan aku digolongkan dalam golongan yang kedekut dan mendapat kemurkaan Allah sekiranya ilmu yang kupelajari tidak disampaikan.


Sabda Rasulullah saw bermaksud: "Orang yang berat menanggung seksa pada hari kiamat ialah orang yang berilmu, namun tidak mendapat manfaat daripada ilmunya itu".

Tahajjud Cinta (TC) ini memberi satu inspirasi dan semangat baru dalam hidup bersyariat ini. Aku terpaku dan terpikat dengan impak amalan tahajjud dalam diri pelakon utama bernama Muhammad Fatih yang hidupnya tidak suka menunjuk-nunjuk dan penyerahan diri secara total kepada Allah. Ibunya sudah meninggal dan dia merupakan putera sulung yang merelakan diri untuk mengorbankan pelajarannya buat sementara waktu(pelajar pintar) semata-mata untuk menyara keluarganya.

Apa yang menarik di sini adalah, beliau tidak meninggalkan munajatnya di sepertiga malam dan hasilnya terlalu banyak perkara yang berlaku tidak kira pahit dan manis, beliau berjaya melepasinya dengan tabah sekali. Dalam satu peristiwa beliau yang diletakkan di dalam guni kerana dicemburui Reno(seorang yang berperwatakan kejam) oleh 2 orang pengikutnya, lalu dicampakkan di suatu semak yang cukup gelap pada waktu malam yang sunyi. Ketika itu, beliau baru sahaja difitnah mencuri beg seorang wanita bernama Lyceen Cee dan kerana tohmahan orang dia dipukul dan dibelasah oleh sekalian penduduk jakarta yang ada di kawasan itu.

Keadaan itu cukup menyayatkan hati. Namun beliau tetap tabah dalam menghadapi dan ditakdirkan beliau masih hidup dan mencari tempat berlindung. Tinggal di sebuah rumah usang yang dihuni oleh seorang nenek yang solehah dan seorang anak kecil. Beliau dijaga buat sementara waktu oleh nenek tersebut. Walaupun dengan kudrat yang sedikit, beliau tetap bangun untuk memohon pertolongan Allah melalui tahajjudnya. Indahnya Allah meletakkan jutaan rahsia dalan tahajjud.



Di akhir coretan novel ini, beliau mendapat banyak bantuan yang datang tanpa henti-henti. Antaranya berkahwin dengan seorang insan yang istimewa dalam hidupnya, mendapat bantuan biasiswa, mendapat tawaran mengajar dan bekerja di sebuah restoran. Berkat pertolongan Allah melalui tahajjud dan ketabahannya menghadapi dugaan beliau dihadiahkan bantuan yang setimpal dengannya walaupun pada awalnya, beliau hanya seorang pemandu beroda tiga yang hidup ibarat seorang mukallaf yang terpinggir tetapi dipenuhi dengan hikmah kebijaksanaan yang hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Sidang pembaca yang dirahmati Allah sekalian,
Walaupun novel ini ada kaitannya dengan cinta, namun aku lebih terpanggil untuk melihat hikmah tahajjud berbanding soal cinta. Hal ini kerana Cinta Allah yang agung dapat disemi dengan lebih mekar dan cepat melalui tahajjud. Mungkin pada pandanganku novel ini ada sedikit tergantung dari sudut plot dan jalan ceritanya, namun kita sebagai umat islam harus melihat kepada ibrah dan sampaikan pada yang lain andai ada baiknya sekalipun secubit pasir di pantai.

Jesteru, marilah semua umat manusia yang mengucapkan dua kalimah shahadah, kita memulakan tabung bekalan akhirat kita dengan kenikmatan di malam hari. Sesungguhnya disepertiga malam, kita rasa cukup tenang untuk berbicara dengan Allah dan hati mudah tersentuh kerana kesyahduan waktunya. Aku yang dhaif lagi hina ini mengajak diriku terutamanyas serta kalian untuk sama-sama mencari dan meraih keampunan dan rahmatnya di malam hari. Mudah-mudahan siangnya dipenuhi barakah dan matinya kita dalam keredaanNya.



Daripada Abu Hurairah : Aku bertanya : Wahai Rasulullah! Beritahulah kepadaku tentang suatu amalan yang membolehkan aku masuk Syurga lalu nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Sebarkanlah salam, jamukanlah makan, dirikanlah solat sedangkan manusia lain sedang tidur nescaya engkau akan masuk Syurga dengan selamat – Dikeluarkan oleh Imam Ahmad, Hakim dan Ibnu Habban dengan sanad sohih

No comments:

Post a Comment