Tuesday, September 25, 2012

Filem hina Muhammad: AS harus bertanggungjawab, kata PAS

KUALA LUMPUR, 14 Sept — Pemerintah Amerika Syarikat (AS) harus bertanggungjawab terhadap penyebaran sebuah filem yang menghina Nabi Muhammad S.A.W di laman YouTube kata timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar). Beliau yang mesra dengan panggilan Mat Sabu menegaskan, pemerintah AS tidak boleh melepaskan pembuat filem tersebut diatas nama kebebasan oleh kerana filem tersebut dengan jelas berniat jahat dan melukakan hati berbilion umat Islam diseluruh dunia. “Pemerintah AS tidak boleh lepas tangan, mereka harus mengambil tindakan. “Filem dengan dengan jelas melukakan hati umat Islam apabila menunjukkan seolah-olah Nabi Muhammad S.A.W itu gila seks, kaki perempuan dan tidak waras,” kata Mohamad dalam perbualan telefon bersama The Malaysian Insider sebentar tadi. Filem yang berjudul “Innocence of Islam” diarahkan oleh Sam Bacile, telah mencetuskan ketegangan di negara-negara Arab, termasuk di Benghazi, Libya di mana Duta AS ke Libya, Christopher Stevens mati dalam serangan roket dari pejuang ekstremis Islam yang dikatakan ditaja oleh al-Qaeda. Mohamad juga menuntut agar pemerintah AS “cakap serupa bikin” oleh kerana penghinaan kepada agama bertentangan dengan prinsip hak asasi manusia yang sering diperjuangkan oleh negara tersebut. “Islam melarang umatnya untuk menghina atau mencerca agama atau kepercayaan lain. “Oleh itu Islam juga harus dihormati, tindakan Sam Bacile ini adalah penghinaan yang lebih teruk daripada apa yang dilakukan oleh Salman Rushdie satu ketika dahulu,” katanya lagi. Pada tahun 1988, Salman Ruhdie menerbitkan sebuah novel bertajuk “The Satanic Versus” yang menimbulkan kemarahan umat Islam seluruh dunia dan menyebabkan penulis tersebut menerima ancaman maut. Pemimpin besar Iran pada ketika itu, Ayatollah Ruhullah Khomeini mengeluarkan fatwa bahawa darah Salman halal kepada umat Islam. Tengah hari tadi, Pertubuhan Pembela Umat Islam (PEMBELA) bersama dengan 15 badan bukan kerajaan (NGO) hari ini menghantar memorandum ke kedutaan AS untuk membantah penyiaran klip video arahan Sam Bacile di laman YouTube.

No comments:

Post a Comment