Thursday, March 11, 2010

MB: Selangor Selepas 2 Tahun

Syukur Alhamdulillah, kerana kita dapat sama-sama hadir di “Majlis Makan Malam Pakatan Rakyat” anjuran Cabang Selayang sempena dua tahun kita menerajui Kerajaan Negeri Selangor. Saya dan isteri mengucapkan terima kasih dan syabas kepada PKR Cabang Selayang kerana terus berusaha menggerakkan Parti yang melibatkan semua bangsa, bertepatan dengan dasar parti yang mengutamakan rakyat Malaysia berbilang bangsa. Seterusnya, saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang Berbahagia;
(2) Pada 8 Mac 2010, genap dua tahun kita mentadbir urus negeri Selangor. Sejak Jun 2008, banyak program, skim dan insentif melalui agenda ”Merakyatkan Ekonomi Selangor” (MES), yang kita berikan secara berperingkat kepada golongan rakyat berbilang kaum dari usia bayi ke usia emas.
(3) Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM56 juta bagi pelaksanaan program-program “Merakyatkan Ekonomi Selangor” (MES) fasa 1, yang meliputi: Pertama, Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS). Pada tahun 2009, seramai 11,858 orang bayi yang lahir sejak Januari 2008 di negeri Selangor menerima RM100 setiap seorang untuk program tersebut, yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM13.5juta.
(4) Kedua, Program Bekalan Air Percuma sebanyak 20 meter padu kepada semua meter individu. Bantuan ini ternyata dapat membantu mengurangi beban kewangan rakyat sebanyak RM10.40 setiap bulan. Kerajaan Negeri membelanjakan RM9.8 juta sebulan untuk tujuan ini. Oleh itu, saya menyeru agar rakyat Selangor menghargai dan menggunakan air dengan cermat di rumah dan pejabat.
(5) Ketiga, Program Hadiah Anak Masuk Universiti, iaitu bantuan wang tunai RM1,000 kepada anak Selangor yang mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Bantuan ini bagi membantu ibu bapa miskin menampung keperluan kewangan bagi anak mendaftar di IPT tersebut.
(6) Keempat, Skim Mesra Usia Emas (SMUE) bagi membantu mengurangi beban kewangan waris warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) di Selangor. Sebanyak RM2,500 disumbangkan oleh Kerajaan Negeri kepada setiap orang yang mendaftar dan layak menerima bantuan. Sehingga hari ini, Kerajaan Negeri membelanjakan RM21.6j dan disampaikan kepada 9,778 waris. Kad keahlian pelbagai guna pula diberikan kepada dua golongan ini untuk mendapatkan kemudahan manfaat kesihatan, makanan dan diskaun tertentu.
(7) Kelima, Program Meningkatkan Hasil Batuan dan Mineral. Peningkatan pendapatan daripada sumber alam ini, seperti pasir, dapat disalurkan semula kepada seluruh rakyat Selangor yang memerlukan pembelaan dan bantuan kewangan.
(8) Keenam, program Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC). Sebanyak enam pusat ditubuhkan di enam hospital di seluruh Selangor bagi membantu mangsa keganasan rumah tangga mendapatkan rawatan, termasuk khidmat kaunseling dalam kes penderaan kanak-kanak, dan pelindungan wanita.
(9) Ketujuh, Program Tabung Pendidikan Anak-Anak Pekerja Ladang, iaitu sumbangan ditawarkan kepada anak-anak keluarga miskin untuk menyambung pelajaran dalam kursus kemahiran teknikal di INPENS. Setakat ini, 130 pelajar sedang mengikuti kursus tersebut.
(10) Pada tahun 2009 agenda MES fasa 2 memberi insentif kepada golongan pekerja awam. Wanita pekerja awam yang bersalin diberi suti 90 hari. Suami yang isterinya bersalin diberi cuti 14 hari manakala isteri yang kematian suami diberi cuti sebulan. Kerajaan Persekutuan dilaporkan kelmarin baru menimbang untuk memberi kelulusan cuti bersalin 90 hari.
(11) Program, aktiviti serta insentif dalam agenda “Merakyatkan Ekonomi Selangor” fasa 3 bakal diteruskan pada tahun 2010 ini.
(12) Bagi merancakkan ekonomi negeri dalam keadaan kegawatan ekonomi global yang belum reda pula, Kerajaan Negeri memulakan enam projek besar, yang dilaksanakan secara pelaburan modal asing (FDI) yang bernilai RM50 ribu juta atau RM50 bilion, dan dijangka menyediakan 150 ribu lowongan kerja di pelbagai peringkat.
(13) Enam projek itu adalah pembersihan dan pembangunan Sungai Klang, peningkatan hasil tanaman padi di daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam, penambah baik rangkaian pengangkutan awam, pemodenan rangkaian jalur lebar, pembangunan kawasan pinggir bandar di Petaling Jaya dan Kelang, pembangunan projek rumah terbengkalai, dan pengambilalihan syarikat konsesi air Selangor. Para Hadirin yang Berbahagia;
(14) Garis Kemiskinan Negeri Selangor kini ditetapkan pada kadar baharu, iaitu pendapatan isi rumah sebanyak RM1,500 sebulan. Kerajaan Persekutuan pula menetapkan Garis Kemiskinan pada pendapatan RM740 sebulan. Ia bermakna, dianggarkan sebanyak 30 peratus daripada 5.4 juta orang penduduk Selangor tergolong dalam kelompok berpendapatan RM1500 sebulan.
(15) Bagi memastikan program-program pembasmian kemiskinan terus dilaksanakan, maka kerjasama dan sokongan semua lapisan jentera pelaksana dan agensi sokongan sangat diperlukan terutama dalam usaha mengenal pasti warga Selangor yang tergolong dalam kelompok RM1500 sebulan. Usaha ini penting bagi memastikan bantuan-bantuan dapat terus disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
(16) Dalam aspek menyediakan tempat perlindungan, Kerajaan Negeri membantu membaik pulih rumah dengan anggaran kos RM7,000 sebuah atau dibina semula dengan kos RM30,000 bagi rumah tiga bilik tidur. Bagi tujuan ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM6 juta untuk baik pulih rumah tahun 2010.
(17) Kerajaan Negeri Selangor, memperuntukkan RM1 juta bagi membantu ketua isi rumah yang tergolong miskin tetapi mempunyai kemahiran tertentu untuk memajukan diri dalam bidang perusahaan dan seterusnya berusaha keluar daripada kepompong kemiskinan. Kerajaan Negeri juga menyediakan bantuan bagi rakyat yang memerlukan rawatan penyakit katarak mata sebanyak RM700, bantuan RM60 sekali rawatan cuci buah pinggang, dan pembedahan kecil tidak melebihi RM1,500.
(18) Kerajaan Negeri turut membantu pembangunan Kampung Baru/Tersusun/Bagan di Selangor. Pada tahun 2009, sebanyak RM4 juta dibelanjakan untuk pembangunan kampung baru seluruh Selangor. Bagi tahun 2010, peruntukan yang sama ditambah kepada RM5.4 juta. Padahal kerajaan dahulu hanya memperuntukan RM200 ribu untuk tujuan ini. Secara logiknya, peruntukan tersebut jauh daripada mencukupi! Para Hadirin yang Berbahagia;
(19) Kita tidak perlu gusar sekiranya surat khabar, radio dan televisyen pro-Kerajaan Persekutuan tidak menyiarkan berita tentang pelbagai program untuk rakyat Selangor, sebab kita percaya rakyat Selangor sendiri tahu yang mereka memang mendapat manfaat yang banyak sejak dua tahun Kerajaan Pakatan Rakyat mentadbir urus negeri ini dengan adil, amanah dan jujur.
(20) Pelbagai perkara yang kita lakukan sekarang sebahagiannya tidak diberikan oleh pemerintah dahulu yang berkuasa selama lima puluh ( 50 ) tahun di Selangor. Maka, rakyat Selangor sekarang semakin sedar yang Umno/BN bukanlah parti politik yang terbaik untuk mereka.
(21) Pembangunan semula kawasan Bukit Botak merupakan antara contoh terdekat di Selayang ini, iaitu apabila Kerajaan Negeri mengambil alih pengurusan projek dengan memastikan reka bentuk rumah, lanskap persekitaran dan keperluan awam menepati keperluan hidup sekarang. Usaha yang berterusan ini bakal memahat keyakinan dan sokongan rakyat terhadap Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor, InsyaAllah. Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang Berbahagia;
(22) Dalam masa kita giat melancarkan program-program ”Merakyatkan Ekonomi Selangor” ada pihak-pihak yang cuba mengganggu gugat kelancaran pentadbiran kita. Pejabat ahli-ahli EXCO kita didatangi oleh SPRM dengan cara yang tidak beretika menyebabkan insiden yang menggambarkan Kerajaan dan Ahli-Ahli EXCO kelihatan terlibat melakukan rasuah. Inilah antara kekangan-kekangan yang terpaksa kita tempuhi sekarang. Bagaimanapun, Insya-Allah, kita terus gigih melaksanakan amanah dan sokongan yang diberikan oleh rakyat kepada kita.
(23) Pada 7 Mac yang baru berlalu, kita menganjurkan Konvensyen Kedua Pakatan Rakyat Negeri Selangor. Beberapa kertas kerja dibentangkan untuk diperhalusi dan dijadikan landasan kerja di peringkat Kerajaan Negeri. Saya berharap PKR, PAS dan DAP di kawasan Parlimen Selayang ini sudah menyenaraikan struktur rasmi pimpinan PR peringkat Parlimen dan mula merancang program-program rakyat.
(24) Saya harap ini masa yang sangat sesuai bagi kita berganding bahu, bergerak bersama dengan semangat “BERPADU. BERUBAH. BERKAT”. Kerjasama ini perlu dimulakan dari sekarang sehinggalah kita menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 yang mungkin diumumkan dalam pada tahun 2011.
(25) Tugas kita untuk mengekalkan penguasaan di Selangor memang agak berat. Tetapi jikalau tugas ini digalas bersama, Insya-Allah, ia menjadi lebih ringan dan mudah malah mampu menawan beberapa kawasan Parlimen dan Kawasan Dewan Negeri lagi!
(26) Selaku Pengerusi PR Negeri Selangor, saya amat yakin dan percaya pemimpin parti gbaungan Pakatan Rakyat di Parlimen Selayang ini cukup matang untuk memikir dan melaksanakan yang terbaik. Perjalanan yang jauh ini harus kita tempuhi bersama dalam semangat setiakawan dan kebersamaan cita-cita yang tinggi dan kental.
(27) Kepada anggota dan penyokong Parti, kita harus memahami yang saat ini bukanlah masa untuk kita duduk bersantai. Kewajipan kita adalah untuk bergerak seiring barisan pemimpin untuk terus memerah keringat dan mengatur strategi bagi memastikan Kerajaan ini yang kita nobatkan dua tahun lalu mampu melepasi segala rintangan dan kerakusan untuk berkuasa semula dalam kalangan pihak yang kita tewaskan itu.
(28) Kepada Pengerusi dan Ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, saya mohon gunakanlah peluang ini untuk membentuk masyarakat yang berilmu, bertoleransi serta memahami diri, keluarga dan hak mereka. Berikanlah panduan dan pedoman yang betul agar budaya cemerlang dapat diwarisi oleh generasi sekarang dan generasi mendatang.
(29) Kita semua adalah potret pertama yang menggambarkan Pentadbiran Baharu Kerajaan Negeri sejak Mac 2008. Sekiranya penampilan kita semua baik maka baiklah Kerajaan Negeri Selangor ini. Jikalau penampilan kita buruk maka buruklah Kerajaan Negeri di mata rakyat Selangor khususnya, dan Malaysia seluruhnya. Oleh itu marilah memelihara nama baik demi kesejahteraan bersama.
(30) Akhir kata, saya dan isteri sekali lagi mengucapkan terima kasih terhadap undangan ke Majlis yang ramah dan menyelerakan ini. Saya berharap usaha baik seumpama ini dapat diteruskan kerana ia mampu mencerminkan kedewasaan dan kematangan pimpinan Pakatan Rakyat menguruskan agenda dan matlamat parti.Berakit-raki ke hulu,Berenang-renang ke tepian;Bersakit-sakit dahulu,Bersenang-senang kemudian.
------------------------------
Ucapan MB Selangor di majlis makan malam sempena sambutan 2 tahun kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

No comments:

Post a Comment